KUALA LUMPUR – Pemilik, pengurusan bangunan (JMB) dan syarikat kawalan keselamatan kondominium akan dikenakan tindakan sekiranya bersubahat dengan sindiket panggilan dalam talian yang menyewa premis berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, melalui beberapa serbuan pihaknya mendapati premis kediaman jenis kondominium telah digunakan sebagai pusat panggilan penipuan.
Katanya, alasan tidak mengetahui aktiviti yang dilakukan dalam premis tidak boleh dipertimbangkan.
“Kita akan mencadangkan pertuduhan di bawah Seksyen 120 (B) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pakat jahat jenayah turut dikenakan terhadap tiga kumpulan individu ini.
“Pakat jahat jenayah merupakan kesalahan yang boleh mengakibatkan individu yang dituduh dihukum seolah-olah dia bersubahat dengan kesalahan itu.
“Bagi cadangan pertuduhan di bawah seksyen ini, kita yakin ia boleh dilaksanakan melalui keterangan yang diambil dalam siasatan kes-kes tersebut,” katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di Menara KPJ hari ini.
Ramli berkata, selaku pemilik premis, mereka wajar dipertanggungjawabkan terhadap sebarang aktiviti jenayah yang dilakukan di premis milik mereka.
“Maka, pada kesempatan ini saya mengulangi gesaan agar semua pemilik premis mengambil tahu dan melaksanakan KYC (know your customer) sebelum membenarkan premis milik mereka disewa dan digunakan oleh orang lain.
“Melalui risikan yang dijalankan, polis mendapati maklumat sebahagian syarikat kawalan keselamatan dan pihak pengurusan bangunan sememangnya mengetahui kewujudan aktiviti jenayah atau aktiviti mencurigakan dalam kondominium mereka namun sama ada ia dilindungi atau tidak dilaporkan,” ujarnya.
Menurut Ramli lagi, ia dikesan melalui tiga serbuan terhadap pusat panggilan bagi kegiatan cabutan bertuah, pelaburan saham dan tipu permainan ‘online’ di Jalan Tun Razak pada 26 Februari lalu.
Jelas beliau, pihaknya turut menahan seramai 11 individu warga China berusia antara 28 hingga 42 tahun.
“Tiga sindiket berasingan itu dikesan menjalankan kegiatan terbabit sejak dua bulan hingga setahun lalu di tiga unit kondominium terbabit.
“Siasatan di bawah Seksyen 420/120 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya. – MalaysiaGazette