KUALA LUMPUR – Pindaan Perkara 122AA Perlembagaan Persekutuan berkaitan Keanggotaan Mahkamah Tinggi perlu diperbetulkan dan dikembalikan kepada asal.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pindaan tersebut yang dilaksanakan di Dewan Rakyat pada 1994 tidak berdasarkan seperti yang termaktub dalam Jawatankuasa antara kerajaan (IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Mengikut IGC dan MA63, sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak perlu mendapat persetujuan daripada kedua-dua kerajaan Wilayah Borneo ini.
“Walau bagaimanapun Kerajaan Persekutuan pada ketika itu telah meminda perkara tersebut tanpa mendapat persetujuan dari Sabah dan Sarawak. Oleh sebab itu, pada hari ini status pindaan tersebut tergantung kerana tidak memenuhi kehendak MA63 khususnya laporan IGC,” katanya.
Madius berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 2025 pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat pada Selasa.
Pindaan Perkara 122AA menyebabkan kuasa Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak untuk melantik Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dimansuhkan melalui Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1994.
Madius berkata, semasa pertanyaan beliau tentang status Pindaan Perlembagaan yang tidak memenuhi kehendak MA63 di Dewan Rakyat sebelum ini, bekas Menteri Undang–Undang yang kini merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak mencadangkan status pindaan itu dirujuk ke mahkamah.
“Pada Tuaran, setiap kesilapan di Dewan Yang Mulia ini harus diselesaikan oleh Dewan ini juga dan bukannya dirujuk kepada mahkamah.
“Oleh sebab itu seperti mana RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen ke versi asal, Perkara 122AA juga sepatutnya boleh dikembalikan dan Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak diberikan semula melantik Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan meminta kedua-dua pihak pembangkang dan penyokong kerajaan menyokong RUU tersebut.
“Pindaan Perlembagaan Persekutuan ini akan membolehkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan semasa pindaan tahun 1992 akan dikembalikan kepada versi asal.
“Inilah yang saya katakan perkara yang perlu diperbetulkan, kita kembalikan kepada asal. Tahniah Kerajaan Madani dan Kerajaan Perpaduan.
“Namun Dewan yang mulia ini harus diperingatkan bahawa pindaan perlembagaan yang dibuat pada 1992 itu jangan lagi diulangi generasi akan datang.
“Saya juga mencadangkan supaya Kerajaan Madani melipatgandakan usaha melalui program-program berimpak tinggi supaya kesedaran rakyat tentang kandungan Perlembagaan Persekutuan dapat ditingkatkan,” tambah Madius. -MalaysiaGazette