KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi di bawahnya seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corp dan MARA Inc sentiasa memastikan semua projek yang sedang dan akan dilaksana agensi itu menjana keuntungan bersih yang tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa itu mengambil maklum terhadap pemantauan diambil KKDW, MARA dan MARA Corp serta strategi ditambahbaik oleh MARA Inc.
“Terhadap projek pembangunan termasuk pembangunan hartanah, projek tenaga boleh baharu dan pelan pemasaran supaya MARA Inc memastikan semua hutang dibayar secara teratur selaras dengan Pelan Penyelesaian Hutang yang sudah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Berhubung syor terhadap pemilikan Premiera Hotel & Resorts Sdn. Bhd. (PHKL), Mas Ermieyati menegaskan, MARA Inc perlu memastikan pelan pemulihan Kumpulan MARA Inc dipenuhi.
“Mengenai syor penyediaan pelan operasi standard (SOP) penyewaan hartanah, ulasan PAC adalah agar MARA Inc sentiasa melihat semula dan menambah baik SOP supaya mengikut keperluan dan peredaran masa.
Ujarnya, PAC juga mengambil maklum tindakan MARA Inc untuk menggubal satu dasar lengkap berhubung penilaian hartanah dan mengingatkan supaya dasar itu sentiasa dipatuhi dan dikemaskini selepas mendapat kelulusan Lembaga Pengarah MARA Inc.
“PAC sekali lagi menegaskan keperluan penelitian, pematuhan dan penambahbaikan terhadap garis panduan dan dasar sedia ada supaya skandal hartanah MARA Inc tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Pada November lalu, PAC menegur MARA Inc berhubung pembelian hartanah terlebih nilai di London, United Kingdom (UK) dan Melbourne, Australia masing-masing pada 2013 serta 2014 yang dilakukan tanpa kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).
Selain itu, PAC berpandangan tindakan MARA Inc memohon hutang sedia ada membabitkan Hotel Premiera kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada 2015, adalah satu langkah yang seharusnya tidak berulang.
Justeru, PAC mengesyorkan KKDW, MARA, MARA Corp dan MARA Inc perlu memastikan Hotel Premiera mempunyai perancangan jelas supaya penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat. – MalaysiaGazette