KLUANG – Seramai lapan penumpang termasuk seorang warga emas cedera selepas bas ekspres dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 62 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Simpang Renggam, Penguasa Bomba Kanan 2 Maznan Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.45 pagi.
“Sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan BBP Kulai bergegas ke lokasi kejadian sejauh 38 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, PKO mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah bas ekspress jenis Scania dan sebuah treler jenis Volvo yang membawa muatan besi.
“Terdapat sembilan mangsa keseluruhannya yang terlibat yang terlibat iaitu empat mangsa cedera dan tersepit dalam bas, melibatkan dua lelaki berusia 44 dan 23 tahun serta dua wanita berusia 25 dan 30 tahun.
“Empat lagi mangsa melibatkan dua wanita berusia 33 dan 35 tahun selain dua lelaki berusia 44 tahun dan seorang warga emas lelaki berusia 73 tahun, cedera tidak tersepit dan telah keluar sendiri sebelum PKO tiba,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu treler terbabit yang berusia 51 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat serta mengeluarkan mangsa tersepit ujarnya, melibatkan penggunaan peralatan khas sebelum semua yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, operasi ditamatkan pada pukul 8.36 pagi.- MalaysiaGazette