KUALA LUMPUR – Malaysia muncul sebagai pasaran pelancongan yang keempat paling prihatin terhadap kelestarian di Asia, dengan hampir empat daripada lima pelancong Malaysia (80%) mengambil kira faktor itu dalam rancangan perjalanan mereka tahun ini.
Ia melebihi purata keseluruhan pelancong Asia (68%), menurut Tinjauan Pelancongan Lestari 2025 yang dijalankan oleh platform pelancongan digital Agoda.
Tinjauan yang melibatkan lebih daripada 6,000 responden di 11 buah pasaran Asia, mengetengahkan landskap pelancongan lestari yang semakin berkembang di rantau ini, di mana pengalaman autentik, perjalanan bermatlamat, dan pelancongan luar musim semakin mendapat perhatian.
Menurut tinjauan itu, pelancong Malaysia semakin mengutamakan kelestarian dengan memberi fokus kepada kesan positif terhadap komuniti serta pengalaman perjalanan yang bermakna.
Apabila ditanya mengenai sebab utama mereka memilih pelancongan lestari, lebih satu per empat responden (28%) menyokong komuniti dan ekonomi tempatan adalah faktor pendorong utama.
Sementara itu, hampir satu daripada empat pelancong (24%) merujuk kepada nilai dan kepercayaan peribadi.
Manakala peratusan yang sama (24%) mementingkan keinginan untuk pelancongan yang autentik dan bermatlamat, mencerminkan trend yang semakin berkembang ke arah perjalanan yang bukan sahaja bermakna tetapi juga memperkayakan pengalaman pelancong dan membawa manfaat kepada destinasi yang dikunjungi.
Tinjauan ini juga mendapati ramai pelancong Malaysia kini membuat pilihan yang lebih bertanggungjawab untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Hampir satu per empat (24%) memilih untuk melancong pada musim luar puncak dengan tujuan mengurangkan kesesakan.
Selain itu, 19% memilih penginapan yang mempunyai pensijilan kelestarian, manakala 18% secara aktif menyokong perniagaan berskala kecil dan sederhana serta usaha pemeliharaan budaya tempatan.
Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei Agoda, Fabian Teja berkata, Agoda menyumbangkan satu dolar Amerika Syarikat (AS) untuk membantu usaha pemuliharaan tempatan bagi setiap tempahan yang dibuat melalui program program Eco Deals.
“Untuk setiap tempahan Eco Deals, satu dolar AS akan didermakan kepada projek pemuliharaan WWF yang bertujuan untuk melindungi hidupan liar
dan memelihara habitat kritikal di seluruh Asia.
“Kami teruja untuk membantu pelancong Malaysia meneroka dunia dengan kos yang lebih rendah, sambil memberi peluang kepada mereka untuk memulihara destinasi yang mereka lawati.
“Sejak pelancaran edisi 2025 baru-baru ini, program Eco Deals Agoda telah menawarkan diskaun sehingga 15% di hotel yang mengambil bahagian di 10 buah pasaran Asia,” katanya.
Agoda menawarkan lebih daripada 5 juta penginapan percutian, lebih daripada 130,000 laluan penerbangan, dan lebih daripada 300,000 aktiviti, yang semuanya boleh digabungkan dalam satu tempahan. – MalaysiaGazette