Pihak Maritim Malaysia mengesan dan merampas sembilan botol cecair disyaki air ketum di dalam sebuah bot gentian kaca di Pulau Bewok awal pagi tadi.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mematahkan cubaan menyeludup anggaran lebih kurang 134 gram syabu dan 13.5 liter air ketum kira-kira 0.5 batu nautika utara Sungai Pulau Bewok di sini pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, hasil maklumat dari risikan pasukan peronda semasa menjalankan OP MAKMUR dan OP TIRIS telah mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah Pulau Bewok lebih kurang pukul 2.40 pagi tadi.

“Menyedari kehadiran bot peronda yang cuba memintas untuk melakukan pemeriksaan, bot suspek memecut laju menghilangkan diri melalui kawasan cetek di dalam keadaan gelap ke kawasan paya bakau berhampiran.

“Pemeriksaan di kawasan kejadian menemui satu plastik bungkusan hitam terapung disyaki telah dibuang ke dalam sungai oleh bot tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan lanjut, Mazlan berkata, terdapat 11 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan sembilan botol cecair disyaki air ketum di dalam bungkusan tersebut.

Pihaknya membuat rampasan keseluruhan adalah bernilai kira-kira RM15,000.

Semua barangan rampasan dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

Maritim Pahang akan terus meningkatkan lagi tugas pengawasan, rondaan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang di laut dapat di banteras agar perairan Pahang selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim NegeriPahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan 999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here