GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelesaikan kes penemuan beg berisi lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong jenis kaliber 22 di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di sini, semalam selepas menahan seorang lelaki hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek berusia 46 tahun yang juga pekerja penyelenggara itu ditahan jam 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
“Hasil soal siasat terhadap suspek mengakui dia meletakkan beg berisi peluru itu di lokasi kejadian bagi tujuan pelupusan sebelum menghubungi pihak polis.
“Suspek juga mengaku menemui beg dan peluru itu ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah rumah pada tahun lalu.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini bagi mengesahkan keterangan yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Swee Sake, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
ARTIKEL BERKAITAN
Polis siasat penemuan lebih 700 peluru di tong sampah pangsapuri
Semalam, polis mengesahkan penemuan lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong jenis kaliber 22 dalam sebuah beg di tempat pembuangan sampah di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan beg berisi peluru itu daripada orang awam pada jam 1.40 petang sebelum sepasukan polis serta forensik digerakkan ke lokasi bagi tujuan siasatan. – MalaysiaGazette