GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada anggota perkhidmatan awam negeri sempena Aidilfitri ini.
Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, pembayaran BKK dianggarkan membabitkan implikasi kewangan RM7.81 juta itu akan disalurkan kepada 7,066 penerima bermula 19 Mac ini.
“Ia sebagai penghargaan kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri atas sumbangan dan komitmen tidak berbelah bahagi dalam merealisasikan Visi Penang 2030, iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
“Malah, BKK berjumlah RM300 juga bakal diberikan kepada penyelia, guru serta petugas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, sekolah rendah agama rakyat, sekolah menengah agama rakyat, sekolah agama bantuan kerajaan, tahfiz, pondok, tadika Islam dan sekolah persendirian Cina Pulau Pinang,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, pemberian tersebut turut dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri tertakluk pada kemampuan kewangan masing-masing. – MalaysiaGazette