JOHOR BAHRU – Polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam satu kejadian rusuhan menggunakan senjata di hadapan Sport Hub, Jalan Austin Heights 7, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, insiden itu membabitkan kira-kira 20 individu bersenjata cota besi dan kayu besbol.
“Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun, sedang berada dalam kenderaan pacuan empat roda apabila dia diserang sekumpulan individu yang turut merosakkan kenderaan berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di siku kanan dan tapak tangan kiri akibat serpihan kaca,” katanya dalam kenyataan.
Raub memberitahu, siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan lelaki pelbagai bangsa berhampiran sebuah premis makanan yang menyebabkan kerosakan harta benda.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
Kedua-dua kesalahan itu ujarnya, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Justeru, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182332 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette