Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan suspek kes penipuan dalam urusan pembelian sebuah kereta jenis Lamborghini Aventador selepas selesai sidang media khas di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan terpaksa berputih mata untuk memiliki kenderaan mewah, Lamborghini Aventador selepas diperdaya penjual kenderaan terpakai sehingga mengalami kerugian lebih RM2.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 34 tahun itu yang menyedari ditipu membuat laporan polis pada 19 Februari lepas.

Menurutnya, pengadu mendakwa berkenalan dengan seorang lelaki yang juga suspek menawarkan Lamborghini Aventador  pada Jun 2020.

“Pengadu beberapa kali berjumpa suspek dan turut memandu uji sebuah kereta jenis sama di sebuah syarikat permotoran di Puchong, Selangor dan turut ditunjukkan borang import kastam bagi membuktikan kereta ingin dibelinya diimport.

“Bermula 15 Jun 2020, pengadu membuat 18 kali bayaran ke akaun syarikat yang diberikan suspek dengan keseluruhan bayaran RM2.4 juta,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ramli berkata, pengadu tidak menerima kereta seperti dijanjikan sehingga Januari 2022 suspek menghantar beberapa gambar dokumen notis sitaan kereta yang dibeli pengadu dan berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut termasuk menguruskan pendaftaran serta pindah milik kereta itu.

Bagaimanapun, sehingga kini pengadu tidak menerima kereta berkenaan menyebabkan dia tampil membuat laporan polis.

Tambah beliau, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis kini giat mengesan lelaki bernama Lim Voi Heng beralamat terakhir di Pangsapuri Sri Indah, Taman Sungai Besi, Seri Kembangan, Selangor.

Ramli meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ruzanna Khairion di talian 010-4425916 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here