JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan selepas cuba melarikan diri semasa dikejar kereta peronda (MPV) dari Jalan Serampang di sini sehingga ke Kota Tinggi hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula sekitar pukul 1.40 pagi ketika anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Serampang.
“Anggota bertugas mengesan sebuah Proton Persona biru dalam keadaan mencurigakan dengan nombor pendaftaran yang ditutup pelekat hitam. Kenderaan itu dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 26 tahun yang dipercayai bekerja sebagai buruh.
“Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, pemandu enggan memberi kerjasama dan bertindak memecut laju sehingga memasuki laluan bertentangan ke arah Kota Tinggi.
“Suspek memandu secara zig-zag sehingga memasuki laluan bertentangan di Jalan Serampang kemudian menghala ke Kota Tinggi. Mereka akhirnya berjaya ditahan di hadapan IPD Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan jarak antara Jalan Serampang bandar Kota Tinggi lebih 40 kilometer.
Mengulas lanjut, Raub berkata, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Semakan lanjut mendapati pemandu mempunyai rekod jenayah berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah.
Kedua-dua mereka direman selama tiga hari sehingga 7 Mac ini untuk membantu siasatan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Tambah Raub, mereka turut disiasat bawah Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempamerkan nombor pendaftaran dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.- MalaysiaGazette