JOHOR BAHRU – Polis menahan 14 lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kes merusuh dan khianat di hadapan Sport Hub, Jalan Austin Heights di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mereka yang berusia 19 hingga 46 tahun itu ditahan anggota Bahagian D7 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dalam operasi pukul 12.55 tengah malam hingga 3 pagi tadi.
“Dalam kejadian pukul 1.30 pagi semalam, mangsa seorang lelaki warga tempata berusia 20 tahun berada dalam kenderaannya jenis pacuan empat roda bersendirian di hadapan Sport Hab telah didatangi sekumpulan individu yang bertindak menyerang serta merosakkan kenderaan mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian siku kanan dan tapak tangan kiri akibat terkena serpihan kaca,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati 10 daripada suspek berkenaan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Manakala empat suspek tiada sebarang rekod jenayah dan semakan lanjut juga mendapati semua suspek berkenaan tidak dikehendaki polis.
Menurut Raub, hasil saringan ujian air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dadah.
Semua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Mac ini bagi membantu siasatan, katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda selain Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” ujaranya.- MalaysiaGazette