Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

PUTRAJAYA – Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan hakim perbicaraan kes solar, Datuk Mohamed Zaini Mazlan ditangguhkan selepas beliau dilaporkan pening kepala sebelum prosiding bermula di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Isteri bekas Perdana Menteri pada awalnya dilihat hadir di lobi mahkamah sebelum mengadu sakit kepala kepada peguamnya.

Ketika prosiding, Datuk Jagjit Singh memohon penangguhan serta memaklumkan anak guamnya menghidap kencing manis serta darah tinggi dan terpaksa ke hospital swasta di Kuala Lumpur.

Peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor tiba bagi pendengaran rayuan terhadap keputusan yang menolak permohonanya untuk penarikan diri Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan berhubung kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 05 MAC 2025

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin menetapkan prosiding bersambung pada 15 Mei ini.

Semasa prosiding, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai tidak membantah permohonan penangguhan.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, sekiranya Hakim Mohamed Zaini digugurkan daripada kes solar, prosiding perbicaraan semula dapat dijalankan di hadapan hakim perbicaraan yang baharu.

Beliau berkata demikian selepas Hakim Ahmad Zaidi meminta kepastian terhadap permohonan menggugurkan hakim berkenaan kerana beliau (Mohamed Zaini) telah pun mensabitkan Rosmah atas kesalahan kes rasuah yang dihadapinya.

Rosmah merayu untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini yang mendengar dan memutuskan kes rasuah bagi projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Pada 2022, Isteri bekas Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk menggugurkan beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi atas alasan penghakiman kes tersebut bocor, dua hari sebelum diumumkan.

Rosmah dalam notis usul yang difailkan dan afidavit sokongan yang diikrarkannya meragui integriti hakim berkenaan ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

Pada 1 September tahun yang sama, hakim berkenaan memutuskan Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 74, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun.

Dia juga didenda RM970 juta dan jika Rosmah gagal membayar denda itu, dia boleh dihukum penjara 30 tahun.

Pertuduhan itu adalah meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here