Nga Kor Ming berucap Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR Rang Undang-Undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 bagi meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, dapat memartabatkan aktiviti pencegahan serta penyelamatan yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekali gus mempertingkatkan keselamatan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pindaan tersebut memperkemaskan peruntukkan-peruntukkan lama agar Akta 341 lebih relevan dengan peredaran zaman.

Antaranya meletakkan tanggungjawab kepada pemilik atau pengurus premis untuk menubuhkan suatu organisasi keselamatan kebakaran agar usaha pencegahan (preventive measures) dapat diperkukuhkan.

Akta 341 merupakan suatu akta untuk melakukan peruntukan yang diperlukan bagi membolehkan JBPM berfungsi dengan berkesan dan cekap untuk melindungi nyawa serta harta daripada risiko kebakaran, kecemasan dan tujuan-tujuan lain yang berkaitan dengannya.

Menurut Kor Ming, fokus utama pindaan akta tersebut adalah bagi mengatasi isu dan cabaran berkaitan pengurusan dan pengawalseliaan bagi Pasukan Bomba Sukarela (PBS), perunding keselamatan kebakaran dan firma perunding keselamatan kebakaran, orang kompeten dan kontraktor keselamatan kebakaran, kelengkapan menentang kebakaran atau pepasangan keselamatan kebakaran, penyedia latihan dan pengajar serta pasukan bomba persendirian.

Pindaan Akta 341 ini juga, katanya, penting bagi membolehkan JBPM terus berkembang sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam usaha merakyatkan perkhidmatan kebombaan dan memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

Akta 341 sebelum ini telah dipinda sebanyak tiga kali dan terakhirnya tujuh tahun lalu, pada 2018 bagi meningkatkan perkhidmatan pemadaman kebakaran, penyelamatan dan pemulihan bencana oleh JBPM.

Pindaan-pindaan ketika itu antara lain, bagi memasukkan peruntukan khusus berkaitan penubuhan PBS bagi menyokong operasi JBPM di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here