KUALA LUMPUR – Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini mampu memperkasakan prinsip pemisahan kuasa serta memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, ini kerana pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen melalui RUU itu antara lain, menunjukkan usaha kerajaan memperkukuhkan kebebasan, autonomi dan kebertanggungjawaban Parlimen sebagai institusi legislatif negara.
“Antara aspek penting dalam RUU ini ialah kebebasan dana dan kawalan kewangan institusi Parlimen.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan secara sebulat suara, 33 tahun selepas Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan pada 1992.
Sementara itu, Mohd Shahar yang Ahli Parlimen Paya Besar berkata, RUU tersebut turut memperkenalkan model hibrid bagi meningkatkan kecekapan Parlimen.
Menurutnya, pendekatan itu dapat memastikan kelancaran operasi, selain mengekalkan kepakaran khusus dalam urusan perundangan serta memenuhi keperluan semua pihak, termasuk Ahli Parlimen dan pegawai berkaitan.
“BBC kekal teguh menyokong segala inisiatif memperkukuhkan institusi demokrasi dan memastikan keluhuran Perlembagaan terus dipertahankan.
“BBC juga bertekad memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan benar-benar bebas, berkesan dan selari aspirasi rakyat.
“Pengembalian akta ini adalah kemenangan besar bagi demokrasi negara, dan kami menantikan pelaksanaannya yang efektif bagi meningkatkan akauntabiliti serta kredibiliti Parlimen demi masa depan negara lebih gemilang,” katanya. – MalaysiaGazette