GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan persekutuan khususnya Menteri Ekonomi agar tidak tergesa-gesa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 tanpa perbahasan dan konsultasi yang lebih menyeluruh.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, teknologi CCUS masih kontroversial dan pelaksanaannya membawa risiko ekonomi, alam sekitar dan sosial yang besar.
Jelasnya, prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik memerlukan ruang bagi perbahasan yang teliti untuk memperbaiki dan menilai hala tuju RUU ini.
“Kita bimbang tiada konsultasi awam yang mencukupi mengenai keseluruhan kandungan RUU ini meskipun satu sesi konsultasi dengan Kementerian Ekonomi telah diadakan tahun lalu, namun hanya membincangkan kerangka asas tanpa perincian lanjut.
“Antara kebimbangan utama adalah isu kebocoran karbon dioksida (CO₂) serta impaknya terhadap alam sekitar, selain ketidaktentuan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap sebarang insiden dalam tempoh jangka panjang.
“RUU ini juga tidak mewajibkan penilaian impak alam sekitar dan sosial secara menyeluruh sebelum kelulusan diberikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, projek tangkapan karbon mempunyai kadar kegagalan tinggi dan pulangan rendah, menjadikannya sukar untuk menarik pelaburan swasta malah sekali gus menyebabkan ia bergantung kepada dana awam yang boleh membebankan ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), teknologi ini merupakan langkah paling mahal tetapi paling kurang berkesan dalam mengurangkan pelepasan karbon.
“Ketergantungan kepada CCUS untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih dijangka menelan kos lebih daripada USD30 trilion, jauh lebih tinggi berbanding pendekatan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Tambah Meenakshi, laporan PBB mendapati bahawa proses tangkapan karbon menggunakan bahan kimia berbahaya yang boleh melepaskan ammonia toksik ke persekitaran.
“CO₂ dalam kepekatan tinggi boleh menjadi gas beracun yang menyebabkan gangguan pernafasan, koma, dan kematian. Malah, risiko kebocoran juga boleh mencetuskan gempa bumi kecil dan mencemarkan sumber air bawah tanah.
“Justeru, SAM menuntut agar kelulusan RUU CCUS ditangguhkan sehingga semua kebimbangan ini diberi perhatian dan diperjelaskan secara terperinci oleh pihak kerajaan,” tegasnya.
Media semalam melaporkan, RUU CCUS telah dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bacaan kedua dan ketiga dijangka berlangsung hari ini dengan undian bagi meluluskan RUU ini dijangka dibuat pada hari yang sama. – MalaysiaGazette