KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis ASEAN (ASEANAPOL) mengambil tindakan tegas terhadap sebuah syarikat dari Indonesia yang disyaki menjalankan skim pelaburan tidak wujud.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ia memerlukan kerjasama rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia kerana melibatkan jenayah komersial yang memberi kesan kepada pelabur daripada beberapa buah negara.
Difahamkan seramai 400 mangsa sudah melaporkan penipuan itu kepada pihak berwajib dengan anggaran kerugian mencecah RM105 juta.
“Laporan polis dan kertas siasatan telah dibuka di Malaysia namun tindakan selanjutnya bergantung kepada undang-undang Indonesia kerana jenayah ini berada di bawah bidang kuasa mereka.
“MHO setakat ini telah menerima sekitar 400 aduan daripada mangsa yang mendakwa mereka tertipu oleh skim pelaburan mata wang asing (forex) tidak wujud yang dijalankan oleh syarikat berkenaan.
“Penipuan itu dipercayai didalangi empat individu termasuk dua rakyat Indonesia, seorang warga Rusia yang dikatakan pakar forex dan aktif mengadakan kelas bimbingan di Malaysia.
“Seorang rakyat tempatan yang berperanan membantu operasi mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyerahkan aduan rasmi kepada Kedutaan Indonesia di sini hari ini.
Serahan aduan itu diterima oleh wakil Polis Kedutaan Indonesia, Juliarman EP Pasaribu.
Menurut Hishamuddin, bagi mempercepatkan siasatan, MHO mencadangkan agar polis kedutaan mengambil keterangan mangsa di Kedutaan Indonesia di Malaysia tanpa perlu mereka ke negara itu.
“Ia bertujuan memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lebih efisien serta membolehkan pihak berkuasa Indonesia membuka kertas siasatan dan mendakwa dalang yang terlibat.
“Kita harap sangat dalang serta semua yang berkaitan akan segera dibawa ke muka pengadilan, janganlah biarkan sindiket ini bermaharajalela dan menipu lebih ramai lagi dengan modus operandi memberikan pulangan pelaburan melalui forex,” tegasnya.
Difahamkan, mangsa-mangsa ini mula melabur sejak 2018, namun menghadapi masalah pada 2021 dan 2022 apabila mereka tidak lagi menerima sebarang pulangan.
Rata-rata mangsa adalah dalam kalangan rakyat Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. – MalaysiaGazette