MELAKA – Tiada mana-mana dapur hotel di negeri ini yang menawarkan bufet Ramadan diarah tutup seperti dilaporkan media hari ini.
Sebaliknya, Exco Kesihatan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kes tiga buah dapur hotel yang diarahkan tutup selama 14 hari oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) berlaku sebelum 1 Mac lalu.
“Sebenarnya, tahap kebersihan hotel yang tidak memuaskan itu sudah pun selesai dan premis berkenaan hanya ditutup selama tiga hari iaitu pada 19 Februari hingga 21 Februari lalu.
“Jadi tiada dapur hotel ditutup semasa bulan Ramadan dan orang ramai khususnya masyarakat Islam tidak perlu berasa bimbang untuk menikmati bufet Ramadan di mana-mana hotel di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Mengulas lanjut Hee Sem berkata, menjadi kebiasaan notis arahan tutup 14 hari dikeluarkan BKKM, namun premis terbabit akan dibenarkan beroperasi lebih awal sekiranya JKNM berpuas hati dengan tahap kebersihannya selepas itu.
“Diharapkan orang ramai dapat menghentikan penyebaran berita sebelum ini yang kurang tepat kerana isu berkenaan sudah pun selesai,” katanya. – MalaysiaGazette