KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tertentu yang memainkan retorik kononnya terdapat dua darjat dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh melemahkan usaha membanteras rasuah di negara ini.
Sebaliknya, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, siasatan SPRM harus dikritik secara berfakta dan konstruktif, bukannya melalui naratif bahawa semua tindakan badan itu bermotifkan politik.
Ini kerana, tegas beliau, dakwaan sebegitu hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan menjejaskan perjuangan menentang rasuah.

Dalam masa sama, ujar beliau, dakwaan kononnya SPRM hanya menyiasat individu yang menentang Perdana Menteri juga disifatkan satu andaian mudah (simplistik) dan tidak berasaskan bukti kukuh.
“Walaupun SPRM berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, namun dakwaan badan itu hanya bertindak atas arahan politik perlu disokong dengan bukti konkrit.
“Namun, setakat ini, tiada bukti kukuh siasatan SPRM terhadap bekas-bekas Perdana Menteri dibuat semata-mata kerana mereka mengkritik kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu yang menilai terdapat dua darjat dalam siasatan oleh SPRM yang mana pihak-pihak yang dilihat menentang kerajaan hari ini akan segera disiasat, manakala kes melibatkan penyokong kerajaan pula tiada perkembangan lanjut.
Terbaharu, dakwaan dua darjat itu turut dikaitkan dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob menerusi penemuan wang tunai lebih RM170 juta seperti didedahkan SPRM.
Sementara itu, Jais berkata, dalam kes melibatkan Ismail Sabri, jumlah rampasan wang yang diumumkan menunjukkan kes tersebut melibatkan nilai yang besar, sekali gus menarik perhatian umum.
Sehubungan itu, jelasnya, SPRM perlu menjelaskan siasatan kes tersebut bagi mengelakkan spekulasi dalam kalangan rakyat.
“Ini bukan bermakna ada ‘dua darjat’, tetapi lebih kepada keperluan untuk menjelaskan kes yang mempunyai impak besar kepada rakyat,” katanya.
Berhubung dakwaan siasatan SPRM mengambil masa dan berbeza mengikut kes melibatkan individu tertentu, Jais berkata, tidak semua kes boleh dibandingkan secara langsung kerana setiap siasatan mempunyai tahap kerumitan yang berbeza.
Jelas beliau, tuduhan bahawa kes tertentu seperti melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) tidak disiasat secara serius adalah andaian yang tidak mengambil kira prosedur undang-undang yang kompleks.
“Setiap kes siasatan rasuah mesti dinilai berdasarkan fakta dan bukti, bukan persepsi politik semata-mata,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, tambah Jais, apa yang perlu dituntut ketika ini bukanlah naratif konspirasi politik, tetapi reformasi menyeluruh dalam sistem keadilan supaya semua siasatan dilakukan secara adil dan telus, tanpa mengira siapa yang berkuasa. – MalaysiaGazette