JOHOR BAHRU – Seorang peniaga Bazar Ramadan Tebing, Bandar Dato’ Onn di sini menafikan harga sekeping murtabak dijualnya RM19 sekeping terlalu mahal seperti ditularkan seorang pelanggannya semalam.
Farhan Latif, 33, berkata, harga murtabak itu adalah murtabak daging dengan keju mozzarella yang dijual pada harga sama sejak tiga tahun berniaga di bazar Ramadan terbabit.
“Harga murtabak ayam dan daging tanpa keju mozzarella ialah RM15 dan jika tambah keju harganya RM19. Murtabak yang saya jual saiz besar dan banyak daging.
“Harga ini saya lihat di kebanyakan penjual murtabak jenis ini adalah berpatutan,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Tebing Bandar Dato’ Onn hari ini.
Terdahulu tular video berdurasi 57 saat memaparkan seorang wanita dari Selangor dan menetap di Johor Bahru selama setahun terkejut dengan harga makanan yang didakwa lebih mahal dari Kuala Lumpur.
Dia yang mendakwa sekeping murtabak daging yang dijual pada harga RM19 terlalul mahal sebelum menjadi pertikaian netizen dalam media sosial.
Jelas Farhan, sehari dia menggunakan antara 35 hingga 40 kilogram daging untuk membuat murtabak dan hanya dapat menghasilkan lima keping sahaja dengan sekilogram daging.
“Keju mozzarella pula berharga RM80 dua kilogram untuk berat seperti itu saya dapat hasilkan 15 keping murtabak daging cheese.
“Semua harga bahan mentah sudah naik, mula-mula saya memang terfikir hendak naikkan harga tetapi saya tak buat begitu kerana saya susah nak menjual dan pelanggan juga sukar membuat pilihan,” katanya.
Farhan pada masa sama mengaku terkejut dengan video tular tersebut namun tidak cepat melatah dan beranggapan itu hanya ujian semasa Ramadan.
“Terkejut boleh viral sebab harga mahal sedangkan harga ini sama seperti tiga tahun lalu. Boleh lihat di TikTok Rotiman JB, harga sama seperti tahun sebelumnya, banner sahaja saya tukar baru sebab sudah lusuh,” katanya.
Namun, katanya, banner dalam video seorang wanita mendakwa murtabak dijual pada harga RM19 dan viral dalam media sosial bukan miliknya.
“Kalau ikut video viral itu bukan banner martabak saya tapi kalau dia cakap kat bazar Tebing Bandar Dato’ Onn dan harga betul, sebab hanya saya jual murtabak di sini.
“Murtabak ini tidak seperti di Selangor yang isinya banyak bawang dan telur. Murtabak saya jual banyak daging, ada dua lapis di dalam dan luar, ala-ala murtabak Singapura,” ujarnya.- MalaysiaGazette