AirAsia X penumpang
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- AirAsia akan memindahkan perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) berkuatkuasa esok, 7 April 2025.

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, langkah tersebut adalah bagi mengoptimumkan kecekapan operasi berikutan peningkatan permintaan perjalanan serta mempertingkatkan pengalaman penerbangan para tetamu secara keseluruhan.

“Dengan jumlah penumpang antara Kuala Lumpur dan destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching meningkat secara signifikan melebihi 16 peratus dari tahun ke tahun, penggabungan operasi domestik di KLIA2 akan membolehkan syarikat penerbangan ini menampung penambahan trafik dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AirAsia mula beroperasi semula di LTSAAS sejak Ogos tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, penggabungan perkhidmatan domestik di KLIA adalah langkah terbaik untuk memacu pertumbuhan pada masa hadapan susulan peningkatan permintaan bagi laluan Kota Kinabalu dan Kuching.

“Langkah ini membolehkan kami meningkatkan kecekapan operasi dan mempertingkatkan pengalaman penerbangan para tetamu secara keseluruhan.

“Walaupun LTSAAS menawarkan akses lebih mudah bagi penduduk bandar, infrastruktur di KLIA2 lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penerbangan sambungan berskala besar – terutamanya pada waktu puncak perjalanan.

“Ia juga menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk pertumbuhan berterusan apabila kami menambah lebih banyak penerbangan bagi memenuhi permintaan tinggi ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan peralihan lancar, AirAsia akan terus beroperasi dari LTSAAS sepanjang minggu sambutan Hari Raya untuk memenuhi permintaan sedia ada.

AirAsia juga katanya, telah menyediakan Pilihan Pemulihan Perkhidmatan (SRO) yang menyeluruh, termasuk pertukaran penerbangan secara percuma dalam tempoh 30 hari, akaun kredit, atau bayaran balik penuh kepada para tetamu bagi menangani sebarang kesulitan.

“Sesi perundingan positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan ini sejajar dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta matlamat keterhubungan jangka panjang lapangan terbang utama.

“KLIA2 telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab mega utama di rantau ini dan kami berbangga untuk terus memperluas kehadiran kami sebagai syarikat penerbangan utama.

“Pada masa yang sama, kami terus komited untuk meningkatkan sambungan dan perkhidmatan di hab-hab utama kami yang lain di Malaysia bagi para tetamu,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here