Ahmada Yusuf (dua dari kiri) bersalaman dengan Gurudutt Joglekar (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR –  Ezcare Warranty Sdn. Bhd. (Ezcare) menjalinkan kerjasama Generali Insurance Malaysia Berhad (Generali Insurance) akan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia jaminan kenderaan selepas jualan yang terkemuka di negara ini.

Pengarah Operasi Ezcare, Amirul Akmar berkata, memorandum persefahaman yang dimeterai antara dua syarikat tersebut membolehkan Ezcare kini berada dalam kelasnya tersendiri.

Menurut beliau, ia kerana syarikat yang mampu meningkatkan keyakinan pelanggan sekali gus boleh merancang kepada pelan pengembangan perniagaan pada masa depan.

“Di pasaran masa kini terdapat banyak syarikat yang menyediakan perkhidmatan jaminan kenderaan selepas jualan tetapi ia tidak disokong oleh sebuah syarikat insurans yang kukuh, jadi dengan kerjasama ini, ia akan memberi ketenangan kepada pelanggan agar mereka tidak meragui lagi perkhidmatan yang ditawarkan.

“Dengan perkhidmatan yang lebih komprehensif dan lebih berinovatif ini, ia menjadi satu nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada dan juga ia akan membolehkan kami merancang pelan pengembangan untuk meneroka pasaran korporat pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian MoU tersebut yang turut diwakili oleh Pengarah Urusan Ezcare, Ahmad Yusuf dan juga Ketua Pegawai Insurans, Generali, Gurudutt Joglekar di sini baru-baru ini.

Ahmad Yusuf (empat dari kiri) bersama Gurudutt Joglekar (empat dari kiri) pada majlis pemeteraian MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ezcare adalah syarikat bumiputera yang menyediakan jaminan kenderaan khususnya kepada kenderaan import terpakai dan kenderaan terpakai termasuk motosikal berkuasa tinggi, supercar, hibrid dan juga kenderaan elektrik (EV).

Amirul memberitahu, kedua pihak telah memulakan perbincangan sejak lebih setahun lalu dan pihak Generali mengambil masa untuk membuat kajian terperinci tentang latar belakang dan pengoperasian syarikat sejak ia mula beroperasi tahun 2016.

Generali memuktamadkan perbincangan sekali gus bersetuju menyokong syarikat untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri ini berdasarkan kejayaan dan penguasaan pasaran yang besar dimiliki Ezcare.

“Melalui kerjasama tersebut, setiap program jaminan kenderaan di bawah Ezcare akan disokong dan dijamin oleh Generali seterusnya bakal mengukuhkan pakej pelan-pelan jaminan syarikat pada masa depan.

“Usaha ini adalah selaras dengan visi syarikat untuk menawarkan perlindungan jaminan kenderaan yang lebih berkualiti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here