Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu bahawa semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih di peringkat pertimbangan mahkamah.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, gag order berkenaan isu titah adendum kepada permohonan pengampunan terhadap Najib masih tidak boleh dibincangkan.

“Berkenaan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak, Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025 telah membenarkan prosiding tersebut untuk diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Oleh kerana perkara ini masih dalam pertimbangan mahkamah, ia tidak boleh dibincangkan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(g),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Februari lalu, Azalina menggunakan peraturan yang sama untuk mengelak daripada menjawab soalan berkaitan titah adendum mengenai tahanan rumah untuk Najib.

Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan titah adendum bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.

Untuk rekod, titah adendum tersebut merupakan satu perintah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes kesalahan rasuah membabitkan dana SRC International dengan menjalani tahanan rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here