KUALA LUMPUR – Astro Audio mengambil maklum kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kandungan yang dimuat naik di akaun media sosial ERA.
Menerusi kenyataan Astro Radio Sdn Bhd memaklumkan, ERA akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan oleh SKMM dan menyediakan maklum balas seperti yang diminta.
“Kami juga mengambil maklum Notis Niat bagi Penggantungan Lesen dan akan mengemukakan maklum balas rasmi mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
“Kami memandang serius perkara ini dan sentiasa komited untuk mematuhi standard peraturan serta garis panduan komuniti di semua platform kami. Kami amat kesal dengan insiden ini dan kesulitan yang dialami,” katanya.
Semalam SKMM memberitahu, akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (AGC) esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio ERA FM.
Susulan kes tersebut, SKMM telah memanggil pengurusan tertinggi Astro, kelmarin.
Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.
Rakaman percakapan pihak terlibat dibuat bagi membantu siasatan.
Malah Notis Niat bagi Penggantungan Lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio ERA FM.
MCMC berkata, pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil. – MalaysiaGazette