KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak terpedaya dengan satu tawaran ‘Bantuan Ramadan’ yang tersebar di aplikasi Tik Tok dengan menggunakan nama YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Facebook Kesultanan Pahang berkata, penyamar menggunakan nama @tpafzanaminahafidzatul di aplikasi berkenaan memberitahu bantuan Ramadan bernilai RM1,000 akan dikurniakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar kepada orang ramai.
Oleh itu, orang ramai diminta untuk tidak mempercayai dan lebih berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu khususnya yang menyediakan pautan yang disyaki membawa kepada kegiatan penipuan di atas talian (scammer).
Istana Pahang menafikan kewujudan akaun Tiktok di atas nama Raja Tengku Afzan dan berharap orang ramai lebih berjaga-jaga dan mencari pasti kesahihan sesuatu perkara melalui portal dan akaun rasmi iaitu Kesultanan Pahang dan Istana Pahang sahaja.- MalaysiaGazette