GEORGE TOWN – Kartunis terkenal Pulau Pinang, Azmi Hussin atau nama sebenarnya Mohd Azmi Mohd Hussin, 41, meninggal dunia malam tadi.
Azmi yang terkenal dengan siri komik Tanjong Life! dan pemegang tiga rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) dikatakan mengalami sakit dada ketika dalam perjalanan pulang dari bazar Ramadan di Paya Terubong bersama keluarganya.
Abang iparnya, Abdul Aleem Shammoon Rali, 37, berkata, isteri Azmi segera membawanya ke sebuah klinik berhampiran di Farlim sebelum dia tiba-tiba rebah.
“Doktor di klinik berkenaan memberikan bantuan kecemasan dan CPR turut dilakukan dalam ambulans semasa dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang.
“Bagaimanapun dia dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sebelum tiba di hospital,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Abdul Aleem, jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini hari ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki berusia 17 dan 15 tahun serta seorang anak perempuan berumur 11 tahun.
Azmi Hussin terkenal dengan gaya lukisan kartun yang unik dan sering menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Malaysia terutamanya di Pulau Pinang.
Dilahirkan di Butterworth, Azmi menerbitkan lima buku kartun, termasuk The Little Mamak yang diiktiraf sebagai salah satu daripada 50 Judul Terbaik Malaysia oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada 2016 serta tersenarai untuk Pesta Buku Frankfurt di Jerman pada tahun yang sama.
Azmi Hussin juga dikenali kerana pernah mencipta rekod melukis karikatur paling banyak dalam tempoh 24 jam sekali gus mencatatkan namanya dalam MBR.
Selain itu, beliau menerima Anugerah Pekomik Kembara pada 2018 dan Tokoh Kartunis Pulau Pinangpada 2021. – MalaysiaGazette