PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II Selangor merampas 10 unit kabin van dalam bentuk kenderaan pasang siap (CBU) bernilai RM880,861 termasuk duti dan cukai di Zon Bebas Pelabuhan Utara awal tahun ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan itu dibuat hasil kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melibatkan lima kontena.
“Kabin yang dikimpal dan dicat berwarna putih itu ditemui dalam lima kontena bersaiz 40 kaki dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang Utara pada 7 Januari 2025.
“Hasil pemeriksaan mendapati kabin van itu tidak mempunyai permit kelulusan (AP) khas daripada MITI.
“Ia juga tidak memenuhi kriteria kenderaan pemasangan tempatan (CKD) seperti digariskan dalam Jadual A di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kastam CKD dan CBU (Takrif No.2) 1988 iaitu tertakluk kepada kelulusan MITI,” katanya pada sidang media, di pejabat Kastam Pelabuhan Utara hari ini.
Ahmad Taufik berkata, sindiket mengikrar kesemua kabin van tersebut menggunakan kod tarif yang salah.
“Ia diikrar sebagai 8702.10.5000 bagi tujuan untuk mengelakkan keperluan mendapatkan AP Khas MITI,” katanya lagi. – MalaysiaGazette