KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menerima aset baharu yang bakal meningkatkan keupayaan operasi kawalan maritim pasukan berkenaan.
Ia susulan pengurniaan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada agensi ini menerusi Royal Boat Hangar Johor, di Pos Maritim Teluk Gading semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kurniaan itu mencerminkan keprihatinan baginda terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang ancaman jenayah maritim.
”Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk mengurniakan bot ini kepada Maritim Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan dalam operasi kawalan perairan negara.
“Bot ini adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac 2025 dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkat keupayaan rondaan serta operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Negeri Pahang hari ini.
Bot IC 1170CC itu mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter serta dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 56 knot, manakala kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot.
Manakala reka bentuk dalaman bot turut diubah suai secara khusus bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru semasa operasi.
Ia juga dilengkapi aluminium trailer, membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan operasi serta memudahkan proses up-slip dan down-slip dalam tempoh segera.
Dibina berasaskan kejuruteraan moden, bot itu direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum, menjadikannya aset strategik dalam usaha memperkukuhkan keselamatan perairan negara.
“Bot ini akan digunakan dalam pelbagai operasi termasuk rondaan maritim, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) serta penguatkuasaan undang-undang di laut.
Pnyerahan bot ini turut menjadi simbolik kepada komitmen baginda dalam menyokong usaha Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan perairan negara berada pada tahap tertinggi. – MalaysiaGazette