GEORGE TOWN – Tidak mengambil suntikan anti tifoid dan gagal menunjukkan sijil pengendalian makanan antara kesalahan utama peniaga bazar Ramadan meskipun operasi pemantauan giat dijalankan setiap tahun.
Perkara itu dikesan dalam operasi Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut di bazar Ramadan Kampung Melayu di sini semalam yang menyaksikan 50 gerai jualan diperiksa bermula pukul 5 petang.
Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, M. Shashikumaran berkata, kesalahan lain yang turut dikesan termasuk tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) seperti apron dan kasut bertutup.
“Setiap tahun peniaga mengulangi kesalahan sama seolah-olah tidak mengambil berat mengenai tanggungjawab sebagai pengendali makanan.

“Apabila kompaun dikeluarkan, ada peniaga yang tidak berpuas hati tetapi mereka masih gagal mematuhi peraturan kebersihan makanan.
“Selain itu, terdapat juga peniaga yang mengabaikan kebersihan dan keselamatan makanan dalam peti sejuk serta tidak menyimpannya dengan baik,” katanya.
Pada operasi itu, sebanyak 15 kompaun bernilai RM2,500 dikeluarkan terhadap peniaga yang didapati melanggar peraturan.
Tambah Shashikumaran, tiada kes keracunan makanan dilaporkan setakat ini di daerah Timur Laut bulan Ramadan. – MalaysiaGazette