KUALA LUMPUR- Seorang murid lelaki berusia lapan tahun cedera selepas kaki kanannya tersepit jeriji penutup longkang di kawasan sekolah dekat Sibu Jaya, Sarawak hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 1.26 petang.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan kaki mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat hidrolik,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius namun kelihatan agak lemah akibat menahan kesakitan di bahagian kaki.- MalaysiaGazette