Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR- Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada paras tiga peratus, sejajar dengan ramalan kebanyakan penganlisis ekonomi.

Jawatankuasa Dasar Monetari, Bank Negara Malaysia yang membuat keputusan itu hari ini berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut BNM, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global berterusan, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan perdagangan global.

Bagi tahun 2025, ekonomi global dijangka akan terus mampan dengan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat.

Disinflasi dijangka berterusan di kebanyakan negara maju, disokong oleh harga komoditi yang semakin menurun dan luputnya kesan asas daripada dasar monetari yang ketat sebelum ini.

“Perdagangan global dijangka kekal disokong oleh peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.

“Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan global, inflasi dan perdagangan tertakluk pada ketidakpastian yang ketara mengenai tarif dan dasar lain dari ekonomi utama serta perkembangan geopolitik.

“Ketidakpastian sebegini juga boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara,” katanya lagi.

Tambah BNM, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 5.1% pada tahun 2024, didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh dan eksport yang kembali pulih.

Pada masa hadapan, walaupun terdapat ketidakpastian luaran, kekukuhan kegiatan ekonomi dijangka akan berterusan pada tahun 2025, dengan berteraskan permintaan dalam negeri.

Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

Peningkatan aktiviti pelaburan yang mantap akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang berterusan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional.

Dalam keadaan ketidakpastian dasar global, eksport dijangka mengembang pada kadar yang lebih sederhana. Walau bagaimanapun, eksport akan terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, pertumbuhan eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang berterusan serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, yang berpunca terutamanya daripada kelembapan ekonomi rakan-rakan perdagangan utama susulan ketidakpastian yang ketara berhubung dengan dasar perdagangan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sementara itu, pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi disebabkan oleh limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi global, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan pelaburan yang lebih pantas.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.7% dan 1.8% pada bulan Januari 2025.

Secara keseluruhan, inflasi pada tahun 2025 dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.

Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana. Dasar berkaitan upah yang diperkenalkan baru-baru ini akan memberikan sokongan tambahan kepada permintaan, meskipun kesan terhadap inflasi dijangka terhad.

“Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal. Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri serta perkembangan luaran berhubung dengan harga komoditi global, pasaran kewangan dan dasar perdagangan,” katanya lagi.

Prestasi ringgit pula terus didorong terutamanya oleh perkembangan luaran. Perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dengan ekonomi-ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.

Pasaran kewangan mungkin menghadapi tempoh volatiliti yang ketara disebabkan oleh ketidakpastian dasar global.

Walau bagaimanapun, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here