Sebuah pacuan empat roda merempuh dua motosikal dan mengakibatkan seorang lelaki maut di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kulai semalam.

KULAI – Sebuah pacuan empat roda gagal berhenti di lampu isyarat sebelum merempuh dua motosikal dan mengakibatkan seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera di Kilometer 42, Jalan Johor Bahru-Air Hitam semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi melalui kaunter aduan trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan pacuan empat roda dan dua buah motosikal. Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun gagal berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.

“Akibatnya, kenderaan tersebut merempuh dua motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa lelaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggang motosikal wanita cedera ringan di bahagian kaki dan tangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibupejabat Polis Daerah Kulai, Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa 011-260 81008 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here