KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan hasil bedah siasat punca kematian pegawai tribunal kastam di Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), di Putrajaya, semalam disebabkan jerutan ligatur di leher.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa bermula jam 11 pagi hari ini dan selesai pukul 1.30 tengah hari tadi.
“Proses bedah siasat yang dijalankan oleh pakar Patalogi dari Jabatan Forensik dan Patalogi Hospitak Serdang. Punca kematian disahkan tekanan leher akibat jerutan ligatur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, waktu kematian lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai antara jam 9 malam, Isnin hingga 8 pagi, 4 Mac lalu.
Berikutan itu, siasatan masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) berdasarkan keterangan daripada pakar patalogi yang terlibat.
Semalam media melaporkan, seorang pegawai tribunal rayuan MoF ditemui mati dalam keadaan leher dan kakinya terikat menggunakan pengikat kabel di pejabatnya.
Rusdi dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar jam 10.56 pagi sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dikejarkan ke lokasi.
Katanya, seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai pejabatnya dan pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui. – MalaysiaGazette