Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Pembangkang masih mengharapkan kerajaan perpaduan agar meluluskan peruntukan kepada mereka bagi diagihkan ke kawasan masing-masing.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata pihaknya mengharapkan dengan keberkatan bulan Ramadan dapat membuka hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan peruntukan berkenaan.

“Saya kira kerajaan sudah cukup stabil dengan kestabilan sudah cukup dua pertiga sudah ada untuk nak meminda Perlembagaan, jadi tidak memerlukan sebarang sebarang MoU.

“Saya nak sebut bahawa soal rundingan kalau tengok (Ahli Parlimen) Muar pun sudah kata beliau dah runding dah buat macam-macam pun tak dapat juga, jadi saya tak dapat jawab bagi pihak Perikatan Nasional,” katanya ketika berbahas Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata sekiranya rundingan menjadi syarat untuk diberikan peruntukan, maka satu jalan perbincangan baharu perlu dirintis bagi memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak

“Kalaulah rundingan itu menjadi syarat untuk diberikan peruntukan ini saya kira jalan boleh dibuka semula dan tetapi apa yang kita lihat baru-baru ini TPM menyebut bahawa akan dibentuk jawatankuasa dan sebagainya.

“Rundingan seolah-olah dilewatkan, jadi suasana ini perlu diharmonikan, yang pentingnya insya-Allah saya harapkan supaya Ramadan ini membuka episod yang baru untuk kami Ahli-ahli Parlimen pembangkang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa Ahli Parlimen pembangkang tampil mengemukakan cadangan terlebih dahulu bagi membolehkan jawatankuasa pengagihan peruntukan ditubuhkan untuk membincangkan cadangan termasuk isu peruntukan daripada pembangkang.

Malah beliau memerlukan komitmen di pihak pembangkang berhubung surat cadangan itu untuk diteliti bagi menubuhkan jawatankuasa di peringkat kerajaan dan juga di pihak pembangkang.

Ia susulan tindakan pembangkang yang dilihat memilih untuk membuat kenyataan media tanpa melaksanakan surat cadangan seperti diminta.

Fadillah sebelum ini memaklumkan penubuhan jawatankuasa khas itu penting bagi menyelesaikan isu berkaitan agihan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang secara lebih konsensus dan menyeluruh.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengumumkan menolak draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Pembangkang mendakwa, cadangan MoU itu juga bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here