Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Semua pemimpin politik dan masyarakat di pelbagai peringkat untuk memainkan peranan masing-masing dengan tujuan menyatu dan meredakan kemarahan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan, pemimpin jangan sesekali menjadi pencetus, mahupun menjadi api yang boleh menjadi punca perbalahan.

Beliau berpandangan, pimpinan di peringkat pusat perlu menjadi orang tengah bagi mempertemu dan mendamaikan pihak-pihak berkenaan.

“Tindakan yang sewajarnya harus diambil pihak berkuasa dengan niat sekadar memberi pengajaran kepada pelaku, bukan menghukum demi memberi kepuasan kepada sesetengah pihak yang lain.

“Kita tidak mahu perbalahan ini mencapai tahap di mana setiap pihak menanti satu pihak yang lain untuk melakukan kesilapan, demi untuk mengembalikan paku buah keras masing-masing,” tegas beliau yang mengulas mengenai isu video kontroversi yang tular di media sosial membabitkan tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersenda satu perayaan agama baru-baru ini.

Ketiga-tiga penyampai ERA FM itu, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin telah digantung tugas dan membuat permohonan maaf.

Malah, tiga penyampai Era FM itu hadir ke kuil Batu Caves untuk berjumpa ahli jawatankuasa kuil itu, Sivakumar Nadarajah bagi memohon maaf atas tindakan mereka yang mempersendakan ritual kavadi semasa perayaan Thaipusam.

Namun, Sivakumar yang juga Presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia serta anak kepada Pengerusi Kuil Batu Caves, R Nadarajah menegaskan beberapa kali  apa yang dilakukan oleh mereka bertiga adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tindakan perlu diambil terhadap mereka.

Ketiga-tiga mereka termasuk tiga kakitangan stesen radio terbabit telah  memberi keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, semalam.

Siasatan ke atas tiga penyampai berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, beliau bersetuju tindakan mereka merupakan satu kesalahan dan tidak sesekali mencerminkan ajaran agama Islam.

Tegas beliau, selama Malaysia wujud, perselisihan dan salah faham dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama kerap dan seringkali berlaku.

Namun, katanya. dalam suasana seperti ini, pemimpin memainkan peranan yang sangat penting.

Beliau mengingatkan negara ini pernah mencapai tahap terburuk dengan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 yang sudah tentu tidak mahu kita ulangi.

“Mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, kerajaan terdahulu telah mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan perpaduan kaum diperkukuh di negara ini.

“Ini berlangsung dengan baik sehinggalah ketidakstabilan politik membuatkan isu perkauman dan agama mula menjadi isu terbuka diperkatakan masyarakat umum,” ujarnya.

Beliau sekali lagi menegaskan, negara ini harus segera bebas daripada isu sebegini.

Pada usia 68 tahun, keutamaan kita adalah pencapaian negara dan rakyatnya dalam pelbagai bidang, bukan lagi pertelingkahan kaum dan agama yang tiada kesudahan, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here