Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 02 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Seorang penganggur memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengekalkan hukuman mati terhadapnya atas kesalahan membunuh seorang juruteknologi pergigian tujuh tahun lalu, sekiranya panel hakim menolak rayuannya terhadap sabitan tersebut.

Permintaan itu dibuat oleh perayu, Abdul Malik Rosli, 27, menerusi peguam dilantik mahkamah, S. Karthigesan, semasa mitigasi selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati itu dengan penjara 30 tahun.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin turut menjatuhkan hukuman sebatan 12 rotan ke atas Abdul Malik.

Karthigesan, yang mewakili Abdul Malik, mengesahkan keputusan mahkamah kepada Bernama.

Beliau berkata mahkamah juga mengarahkan agar Abdul Malik menjalani hukuman penjara bermula pada tarikh tangkapan pada 31 Jan 2018.

Beliau berkata mahkamah memutuskan bahawa kes Abdul Malik tidak termasuk dalam kategori “teramat jarang berlaku” yang membolehkan beliau dijatuhi hukuman mati.

Karthigesan berkata beliau juga telah memaklumkan kepada mahkamah semasa mitigasi bahawa beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk memohon agar hukuman mati dikekalkan sekiranya rayuan terhadap sabitan beliau ditolak.

Abdul Malik didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada Oktober 2022 kerana membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di tingkat empat kuarters klinik kesihatan Lukut di Port Dickson pada pukul 1.40 pagi, 19 Januari 2018.

Mayat Mahussin ditemui oleh rakannya 72 jam selepas beliau dilaporkan hilang apabila gagal hadir ke tempat kerja pada 22 Januari 2018.

Abdul Malik masih mempunyai satu peluang lagi untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Rafidah Zainuddin mewakili pihak pendakwaan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here