Penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin dibebaskan daripada tuduhan memiliki lebih 6,000 biji pil kuda Foto Spotify

NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat lagi rakan terlepas daripada hukuman penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok, 1 November lalu.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Bae Sobar Bae itu bersama suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, dan rakan mereka Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, serta Zuhaira Nasrin, 26, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah methamphetamine.

Namun kesemua mereka tidak perlu melalui hukuman tersebut kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Hakim menerusi hujah penghakimannya berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh.

Menurutnya, selain itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di sini juga tidak menunjukkan bahawa mereka membawa masuk kesemua dadah ke dalam bilik.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira turut didenda dengan jumlah yang sama selepas mereka sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here