Kor Ming (tiga dari kiri) dan Steven Sim (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara wakil NIOSH dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di Bilik Taklimat, Parlimen Malaysia, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 bakal pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengikuti program latihan dan persijilan secara percuma dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Kursus Persijilan Kompetensi itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bertujuan memberi peluang kepada anggota bomba yang akan bersara meningkatkan kemahiran serta mendapatkan persijilan yang relevan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek tersebut merupakan kursus secara percuma kepada dua kategori bakal pesara iaitu pegawai dan bukan pegawai.

Katanya, ia untuk membolehkan mereka menyumbang kembali kepada masyarakat melalui peranan sebagai pelatih atau koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Dalam era pembangunan pesat dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan menjadi semakin kritikal.

“Namun kita masih berdepan dengan beberapa cabaran utama dalam memastikan tempat kerja yang selamat dan kondusif untuk semua.

“Berdasarkan statistik JBPM, anggaran nilai kerugian akibat kebakaran mencecah RM1.56 bilion. Walaupun ia menurun hampir 40 peratus berbanding dengan tahun terdahulu, angka ini masih tinggi.

“Justeru, banyak aspek perlu kita teliti dan selesaikan bersama bagi meminimumkan kes kebakaran dan kemalangan-kemalangan industri yang lain yang boleh memberi impak negatif besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Jabatan JBPM dengan NIOSH di Bilik Taklimat Parlimen hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pihaknya melihat aspek kebajikan kepada para pegawai bomba perlu diberikan penekanan sementelah kerjaya itu mempunyai risiko keselamatan yang sangat tinggi, baik dari segi kecederaan dan kematian semasa bertugas mahupun penyakit-penyakit kritikal akibat daripada bahaya-bahaya yang wujud ketika bertugas.

Katanya, pada tahun lepas, sebanyak 98 kes melibatkan kecederaan dan kecacatan anggota badan dan lima kes kematian dalam kalangan anggota telah direkodkan semasa melaksanakan tugas.

Justeru beliau berkata, kerjasama strategik antara agensi seperti JBPM dan NIOSH amat penting dalam merangka penyelesaian yang lebih berkesan bagi menghadapi cabaran mendatang.

Sementara itu, Steven ketika ditemui berkata, kerjasama yang terjalin bagi tujuan tersebut mencerminkan semangat kerja berpasukan antara KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) dan KPKT, selari dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan pembangunan insan secara holistik.

Walaupun NIOSH dan JBPM berada di bawah kementerian berbeza, kedua-dua agensi tersebut berganding bahu dalam usaha membela kebajikan pekerja sektor awam termasuk pegawai dan anggota bomba yang bakal bersara.

“Selain kemahiran teknikal, program ini turut menyentuh aspek pembangunan ilmu dan kesejahteraan sosial memastikan setiap peserta bersedia menghadapi cabaran baharu selepas bersara.

“Inisiatif ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada wira-wira JBPM yang telah berkhidmat penuh dedikasi melindungi rakyat dan negara.

“Dengan adanya latihan berstruktur dan persijilan yang diiktiraf, bakal pesara bomba kini berpeluang menambah nilai dan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas bersara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here