Zahari merasmikan pembukaan kawasan baharu tanaman padi baharu seluas 10 hektar di Kahang, Kluang.

KULAI – Sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi meningkatkan pengeluaran beras di Johor menerusi pembukaan kawasan tanaman padi baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, peruntukan tersebut diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam pembentangan Belanjawan Johor 2025.

“Kita melihat peruntukan ini sebagai salah satu langkah proaktif bagi menangani isu bekalan beras di negeri ini.

“Antara projek utama yang dilaksanakan adalah pembukaan kawasan baharu seluas 10 hektar di Kahang yang baru sahaja selesai proses pecah tanah dan dijangka memulakan penanaman awal tahun depan.

“Selain itu, kawasan seluas 20 hektar yang dibuka tahun lalu juga telah memulakan proses penanaman minggu lepas dan dijangka mengeluarkan hasil pertama pada Mei 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah mempengerusikan mesyuarat berhubung program Jelajah Orang Johor (JOJ) di Kota Iskandar di sini semalam.

Katanya, selain di Kahang, Johor turut membuka kawasan tanaman padi baharu di Sungai Balang, Muar seluas 50 ekar yang dijadualkan memulakan penanaman sekitar Mei atau Jun tahun ini.

Kawasan yang dimajukan itu sebenarnya merupakan tanah terbiar yang pernah digunakan untuk ternakan ikan dan udang sebelum dibersihkan dan ditambak semula oleh Jabatan Pertanian Johor bagi tujuan tanaman padi.

Inisiatif itu, katanya, bukan sahaja menambah kawasan tanaman baharu, malah turut mempertingkatkan pengeluaran beras tempatan.

“Ini kerana hasil tanaman padi yang diusahakan menerusi peruntukan RM2 juta itu adalah sepenuhnya untuk kegunaan domestik di Johor.

“Apa yang penting adalah ia dapat membantu memastikan bekalan di peringkat domestik mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Zahari tidak menolak kemungkinan untuk memohon peruntukan tambahan sekiranya usaha berkenaan menunjukkan hasil yang positif serta masih terdapat keperluan bagi meningkatkan lagi pengeluaran beras di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan bekalan beras di Johor kekal stabil dan mencukupi demi keperluan rakyat negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here