Jababatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan sindiket ejen haram di tiga lokasi berbeza di Taman Kemuning, Shah Alam dan Taman Pandan Cahaya, Ampang di Selangor serta Jalan Datuk Eusoff, di sini. Foto JIM

KUALA LUMPUR – Sindiket ejen haram warga asing tumpas selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu tiga lokasi di Taman Kemuning, Shah Alam dan Taman Pandan Cahaya, Ampang serta Jalan Datuk Eusoff di sini baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen,  Datuk Zakaria Shaaban berkata , modus operandi syarikat terbabit membekalkan pekerja asing yang telah diluluskan kuota pekerja asing melalui calling visa dan program rekalibrasi yang dijalankan sebelum ini.

“Syarikat ini akan membekalkan pekerja asing kepada majikan yang telah disenarai hitam dari memohon kuota pekerja asing dengan bayaran sebanyak RM8,000 setiap seorang.

“Mereka juga menjalankan perkhidmatan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM6,000 setahun bagi setiap pekerja asing dan syarikat itu dipercayai telah beroperasi selama satu tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jababatan Imigresen Malaysia (JIM) tumpas sindiket ejen haram di tiga lokasi berbeza di Taman Kemuning, Shah Alam dan Taman Pandan Cahaya, Ampang di Selangor serta Jalan Datuk Eusoff di sini. Foto JIM.

Tambah Zakaria, pihaknya telah melakukan serbuan menerusi Operasi Khas pada 5 Mac lalu berdasarkan hasil maklumat awam dan risikan selama tiga minggu sebelum pasukan diatur gerak ke lokasi premis.

“Kita telah memeriksa seramai 17 individu di premis berkenaan dan hasil pemeriksaan, enam lelaki warga asing melibatkan lima warga Bangladesh termasuk majikan kepada warga asing itu dan seorang warga Pakistan ditahan berusia 30 hingga 50 tahun.

“Semakan awal mendapati seorang lelaki warga Bangladesh ini memiliki Pas yang masih sah laku dan seorang lagi warga sama telah tinggal lebih masa, sementara dua lelaki warga Bangladesh dan Pakistan telah melanggar syarat Pas.

“Manakala semakan dua lagi lelaki warga Bangladesh dikesan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” jelasnya.

Antara pelbagai naskah pasport dirampas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan operasi khas. – Foto JIM

Turut dirampas sebanyak 394 naskhah pasport Bangladesh, (6) pasport Indonesia, (2) pasport India, (9) pasport Pakistan, satu pasport Filipina, tiga unit telefon bimbit, cop syarikat dan wang tunai berjumlah RM12,550.00 termasuk sebuah kenderaan jenis Honda Insight Hybrid bagi tujuan siasatan.

Kesemua warga asing itu dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here