KUALA LUMPUR – Pihak yang terlibat dalam cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik sepakat menolak sumbangan atau derma dari pihak luar bagi menyekat pengaruh asing dalam perjalanan kempen pilihan raya di negara ini.
Pandangan itu turut disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi memastikan parti politik atau pemimpin tidak dikawal oleh kuasa luar.
“Saya gembira dan bersetuju dengan cadangan bahawa dana luar tidak sepatutnya diterima berkaitan kempen pilihan raya,” ujarnya selepas sesi libat urus berhubung penetapan dasar pengubalan RUU Pendanaan Politik di sini hari ini.

Sesi libat urus itu turut melibatkan pembentangan status terkini RUU Pendanaan Politik yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM, Dr. Punitha Silivarajoo.
Punitha membangkitkan beberapa isu kritikal yang boleh dipertimbangkan dalam penggubalan RUU itu termasuk penyumbang yang tidak dikenali, sumber yang dilarang dan jumlah yang munasabah daripada pemberi dana.
“Antara 12 persoalan dasar yang dibangkitkan termasuk adakah RUU hanya terhad untuk parti politik sahaja, apa bentuk sumbangan yang dibenarkan dan pihak berkuasa yang dipertanggungjawab,” ujar Punitha.
Sesi libat urus itu turut mendengar cadangan antaranya had maksimum sumbangan dana ditetapkan pada RM250,000 dan terpulang kepada parti untuk mendapatkannya.
Cadangan lain yang dikemukakan termasuk sama ada sumbangan itu dimasukkan terus ke dalam akaun parti atau ahli jawatankuasanya.
“Jika parti politik itu sendiri yang meraih dana, adakah ia juga dikira dana politik,” demikian sesi libat urus itu diberitahu.
Dalam pada itu, wujud cadangan dana politik disumbangkan oleh kerajaan terutama untuk manfaat parti-parti yang mempunyai keahlian yang kecil.
Wakil Parti Gerakan antaranya berpendapat, dana awam merupakan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan parti-parti kecil tidak terus dipinggirkan.
“Perlu ada pendanaan awam dan mekanisme pengiraannya kerana jika tidak, sukar untuk parti berkenaan mendapat sokongan,” ujar wakil berkenaan.
Selain itu, kerajaan diminta meneliti penyumbang tanpa nama bagi memastikan `siapa di belakangnya’ dan pihak yang akan mendapat faedah dalam perjalanan kempen pilihan raya.
Namun demikian, kerajaan diminta memberi kelonggaran terhadap kutipan yang tidak dirancang atau secara impromptu terutama ketika sesi ceramah kerana tugas demokrasi juga menjadi tanggungjawab rakyat. – MalaysiaGazette