Suasana di KLIA's Special Lounge ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini mengumumkan prestasi trafik penumpang udara Malaysia bagi Januari 2025 yang mencatatkan 9.2 juta penumpang, peningkatan sebanyak 28.2 peratus berbanding Januari 2024.

Suruhanjaya itu berkata, trafik penumpang udara bagi Januari 2025 turut mencapai peningkatan sebanyak 106.1 peratus berbanding paras Januari 2019.

Katanya, ini menandakan kali pertama jumlah itu melebihi jumlah sebelum pandemik selain menunjukkan pertumbuhan berterusan dalam sektor penerbangan Malaysia.

“Jumlah penumpang meningkat sebanyak 3.8 peratus bulan ke bulan dari Disember 2024 dan 28.2 peratus tahun ke tahun dari Januari 2024, mencerminkan momentum berterusan dalam perjalanan domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAVCOM melaporkan pasaran domestik mencatatkan sebanyak 4.4 juta penumpang, menokok sebanyak 6.9 peratus bulan ke bulan dan 32.7 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, trafik antarabangsa pula berjumlah 4.8 juta penumpang, menurun sebanyak 1.2 peratus bulan ke bulan tetapi naik 24.4 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan trafik antarabangsa dipacu terutamanya oleh pasaran bukan ASEAN yang mencatatkan 2.6 juta penumpang bersamaan dengan peningkatan 7.1 peratus bulan ke bulan dan 34.9 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Menurut MAVCOM, lapangan terbang utama Malaysia juga terus mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun iaitu dua digit yang kukuh pada Januari 2025 selain mengukuhkan lagi trajektori pemulihan.

Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) mencatatkan peningkatan sebanyak 25.6 peratus tahun ke tahun manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) pula bertambah sebanyak 27.5 peratus.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) mencatatkan kenaikan sebanyak 27.9 peratus manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) pula berkembang sebanyak 34.5 peratus.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi iaitu pada 41.8 peratus diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) dengan peningkatan sebanyak 23.0 peratus,” kata MAVCOM.

Menurut suruhanjaya berkenaan, pertumbuhan kukuh ini dipacu terutamanya oleh permintaan perjalanan yang tinggi semasa Tahun Baharu Cina dan musim cuti sekolah serta pemulihan kapasiti tempat duduk bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.

Selain itu, katanya, pengecualian visa 30 hari bagi pelancong dari China dan India juga terus meningkatkan perjalanan masuk sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan jumlah penumpang secara keseluruhan.

Di samping itu, MAVCOM berkata, pengembangan kesalinghubungan antarabangsa seperti pengenalan laluan baharu iaitu Kuala Lumpur–Dali (China) dan Tawau–Singapura, turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pertumbuhan berterusan trafik penumpang mencerminkan kekuatan sektor penerbangan Malaysia dan peranannya yang semakin meningkat dalam kesalinghubungan serantau.

“Bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, kami akan memperkenalkan papan pemuka prestasi dinaik taraf yang bakal memberikan pandangan lebih mendalam mengenai metrik utama syarikat penerbangan dan lapangan terbang.

“Inisiatif ini seiring dengan komitmen kami untuk menegakkan kualiti perkhidmatan dan piawaian operasi serta menyokong pengguna dan pihak berkepentingan industri dengan maklumat berasaskan data yang bernilai,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here