KOTA KINABALU – Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan program STI 100 on the Power of Three (STI 100^3) di
dua buah sekolah rendah di negeri Sabah bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan bidang STEM dalam memacu
perkembangan ekonomi negara.
IPB UMS mengadakan program STI 100^3 tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Sampir Kota Marudu dan SK Mutiara Kota Kinabalu yang melibatkan kira-kira 120 orang murid.
Menurut penyelidik IPB UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Mailin Misson, program tersebut merupakan bukti komitmen UMS untuk menjayakan program pemindahan
ilmu khususnya kepada komuniti di Sabah dengan usaha membudayakan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).
“Selaras dengan pengenalan 5 Lensa Utama UMS, pemindahan dan perkongsian ilmu menjadi tonggak lensa ketiga UMS dalam usaha membantu komuniti di Sabah serta memperkukuh kedudukan UMS sebagai universiti untuk rakyat, selain mendokong saranan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.
“Antara pengisian program yang diadakan di dua sekolah rendah berkenaan adalah aktiviti interaktif STI yang melibatkan pengenalan kepada alat radas makmal, konsep asid dan alkali serta penggunan mikroskop cahaya.
“Selain itu, murid-murid juga turut berpeluang menjalani eksperimen pengekstrakan DNA dan membina model ‘double-helix’ DNA sambil didedahkan kepada asas
penyelidikan dalam bioteknologi,” kataya.

Sekolah Kebangasaan Mutiara selepas program STI 100^3 di sekolah berkenaan.
Tambah Mailin, program tersebut dijalankan selama dua bulan di SK Sampir dan SK Mutiara yang dipimpin oleh beliau bersama rakan penyelidik Dr. Nur Athirah Yusof dan Pn Grace Joy Chin Wei Lie serta dibantu oleh pelajar-pelajar pascasiswazah IPB UMS.
“Murid-murid SK Sampir juga telah berkesempatan untuk melawat makmal-makmal yang terdapat di IPB UMS dan melihat sendiri proses dan aktiviti yang dijalankan di IPB seperti penyelidikan dalam bidang mikrobiologi, kimia hasilan semulajadi dan penyelidikan kejuruteraan bioproses,” katanya.
Program STI 100^3 adalah program melibatkan 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). – MalaysiaGazete