KUALA LUMPUR – Meskipun di bulan Ramadan, Zoo Negara tetap menjadi tarikan utama bagi pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Rata-rata pencinta haiwan tidak melepaskan peluang untuk melihat pelbagai spesies secara dekat, dengan keterujaan dan pengalaman unik bersama hidupan liar.
Bagi Adlina Rosli, 25, dari Kuala Lumpur, peluang masuk percuma ke zoo sempena hari lahirnya adalah sesuatu yang tidak dilepaskan.

Katanya, tiket percuma berkenaan boleh ditebus dalam tempoh sebulan selepas tarikh lahir, dan kebetulan tahun ini, ia jatuh dalam bulan Ramadan.
“Saya dapat free pass (pas percuma) untuk birthday, jadi saya masuk free. Saya ambil peluang ini sebab nak tengok haiwan, terutama orang utan. Memang teruja sebab tak pernah jumpa secara dekat.

“Kebetulan bulan Ramadan, tapi okey je. Cuaca pun tak panas sangat hari ini, jadi seronok jalan-jalan sambil tengok haiwan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Zoo Negara hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Diana Ami, 30, dari Sarawak, tidak melepaskan peluang membawa anaknya ke Zoo Negara bagi memenuhi minatnya terhadap haiwan dan memberikan pengalaman baharu yang lebih dekat dengan alam semula jadi.
“Anak saya memang gemar haiwan. Kalau sebelum ni, dia hanya tengok gambar dalam buku, tapi hari ini dia dapat tengok sendiri haiwan-haiwan ni secara langsung.
“Memang tak sangka dapat pengalaman macam ni, lebih-lebih lagi dapat lihat haiwan macam singa dan gajah dari jarak dekat. Kedua-duanya memang mencuri perhatian kami,” katanya.
Selain pengunjung tempatan, pelancong asing juga meluangkan masa merasai pengalaman unik di Zoo Negara.

Madhuri Sharma dari Kolkata, India, yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, teruja dengan suasana zoo yang terjaga rapi serta persekitarannya yang bersih dan nyaman.
Dia turut memuji keramahan rakyat Malaysia yang banyak membantunya sepanjang lawatan.
“Saya benar-benar menikmati lawatan ke sini. Zoo ini sangat bersih, tersusun dan selesa untuk dikunjungi. Orang Malaysia juga sangat mesra dan banyak membantu saya sepanjang berada di sini,” jelasnya. – MalaysiaGazette