Ahmad Zahid pada sidang media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kg. Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Timbalan Perdana Menteri berharap kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat keadilan seperti dihadapinya sebelum ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menghormati tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diharap dilakukan secara adil dan profesional dalam siasatan mereka

“Secara peribadi, saya juga pernah mengalami keadaan itu dan jelas apabila kes saya dibawa ke mahkamah, walaupun pelbagai pihak yang melemparkan tuduhan akhirnya keadilan telah ditegakkan.

“…dan saya harap perkara yang sama akan berlaku di mahkamah dan itulah harapan kita kepada SPRM,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kg. Rantau Panjang, Masjid Tanah, di sini, hari ini.


Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kg. Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, Zambry juga telah mengeluar kenyataan hari ini gabungan BN tidak menerima apa-apa makluman berkaitan mana-mana yang pihak cuba mengaitkan kes dihadapi bekas Naib Presiden UMNO itu.

“…dan kita juga menghormati SPRM (dalam siasatan kes),” katanya ringkas.

SPRM pada sidang media pada 3 Mac lalu, mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Ia selepas SPRM mendedahkan wang tunai bernilai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas di tiga premis, termasuk sebuah ‘safe house’ berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Bera itu.

Susulan rampasan terbabit, SPRM mengesahkan Ismail Sabri yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu dianggap sebagai suspek kes terbabit.

Media pada 4 September 2023 melaporkan, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi selelepas 77 hari dibicarakan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here