GEORGE TOWN – Wanita yang menjadi mangsa kelakuan tidak senonoh seorang doktor hospital kerajaan dikatakan diperdaya ketika datang ke sebuah klinik swasta di Pulau Tikus di sini bagi mendapatkan keputusan ujian darah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, mangsa berusia 30 tahun itu diperdaya oleh suspek yang ketika itu bertugas sebagai doktor sambilan di klinik berkenaan dengan mengarahkan wanita itu membuka baju dan berlari setempat atas alasan rawatan lanjut.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 28 Jun 2023 kira-kira 6.30 petang ketika dia pergi ke klinik berkenanan bagi mendapatkan keputusan ujian darah.
“Mangsa yang tampil membuat laporan pada 4 Mac lalu pukul 10.16 malam itu turut mendakwa suspek merakam video tubuhnya menggunakan telefon bimbit.
“Susulan laporan mangsa, pihak polis menahan suspek berusia 43 tahun itu pukul 9.15 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Doktor kerajaan direman sekali lagi kes berkelakuan tak senonoh
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, doktor bahagian forensik sebuah hospital kerajaan yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita sebelum ini sekali lagi direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perintah reman selama empat hari sehingga 10 Mac itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi terhadap suspek berusia 43 tahun. – MalaysiaGazette