Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ketua Balai Polis Bukit Jalil didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri wang RM300,000 daripada seorang individu di sebuah kondominium pada bulan lalu.

Tertuduh, Inspektor Azlan Sudin, 45, walaubagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa mencuri wang berjumlah RM300,000 dan sebuah beg Prada hitam milik wanita berusia 35 tahun di sebuah unit kondominium di Bukit Jalil pada 21 Febuari lalu.

Lelaki itu dituduh melakukan jenayah tersebut antara jam 5.45 petang hingga 6.20 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda.

Kemudian, Farah Nabihah membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa dan peguam Huang Yee Ching mewakili tertuduh.

Dalam pada itu, mahkamah hari ini menetapkan 21 Mei untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah majistret berasingan, Azlan turut berdepan tuduhan tidak menangkap seorang lelaki yang terlibat dengan jenayah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu  sebagai anggota polis berpangkat Inspektor yang berkewajipan di sisi undang-undang sebagai penjawat awam untuk menangkap lelaki berusia 35 tahun kerana terbabit dalam kesalahan Seksyen 8(8) Akta Senjata 1960, yang mana dengan sengaja meninggalkan daripada menangkap orang itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lobi Balai Polis Bukit Jalil, Cheras antara jam 6.50 petang hingga 7 petang tarikh yang sama.

Azlan dalam pada itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 221(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika disabitkan kesalahan.

Majistret Noorelynna Hanim Halim membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan kes.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here