KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) digesa memberi penjelasan terperinci berhubung punca sebenar pembatalan pemilihan penempatan pegawai perubatan pada 27 Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, KKM juga perlu menjelaskan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan masalah serupa tidak berulang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, masalah teknikal tidak sepatutnya menjadi alasan untuk membatalkan keputusan yang telah dibuat, lebih-lebih lagi setelah sebahagian pegawai membuat perancangan berdasarkan pemilihan penempatan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN
Malah, ujarnya, pembatalan itu bukan sahaja menjejaskan perancangan para pegawai perubatan dalam perjalanan kerjaya mereka sebagai doktor di sektor awam, bahkan boleh mengganggu kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Saya khuatir tindakan seperti ini oleh KKM akan terus menyerlahkan kelemahan dalam pentadbiran yang berlarutan tanpa penyelesaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tindakan terbaharu KKM itu juga menambah kekecewaan pegawai perubatan yang sebelum ini turut didakwa tidak mengambil kira faktor senioriti dalam sistem mereka.
Jelasnya, keadaan itu juga boleh mengurangkan minat generasi muda untuk menceburi bidang perubatan.
“KKM perlu mengambil tanggungjawab penuh dan bertindak segera dalam menangani isu ini.
“Selain itu, KKM juga harus lebih profesional dalam pengurusan serta memastikan pegawai perubatan yang terkesan mendapat keadilan sewajarnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KKM membatalkan pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10 yang dibuat pada 27 Februari lalu susulan gangguan teknikal pada sistem ePlacement.
Bagaimanapun, KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi memastikan ketelusan dalam proses penempatan dan menangani isu maldistribusi, pemilihan baharu akan dibuka pada Isnin, 17 Mac bermula 3 petang menerusi sistem sama. – MalaysiaGazette