Presiden Yoon Suk yeol Foto AFP

SEOUL- Mahkamah di Korea Selatan mengarahkan pembebasan Presiden Yoon Suk Yeol pada Jumaat selepas menerima permohonannya untuk membatalkan penahanan berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang dilaksanakan dalam tempoh singkat, lapor Agensi Berita Yonhap.

Yoon sebelum ini ditahan di pusat tahanan di Uiwang, selatan Seoul sejak 15 Jan lalu selepas disoal siasat atas tuduhan menghasut pemberontakan ekoran pengisytiharannya mengenai undang-undang tentera pada 3 Dis.

Dengan keputusan itu, Yoon akan dibicarakan tanpa perlu menjalani tahanan fizikal.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengumumkan keputusan itu kira-kira sebulan selepas pasukan pembelaannya mengemukakan permohonan pembatalan penahanan.

Mereka berhujah bahawa pendakwaan yang difailkan pada 26 Jan adalah tidak sah kerana dibuat sehari selepas tempoh tahanan Yoon tamat.

Menurut undang-undang, seorang suspek yang ditahan hanya boleh terus berada dalam tahanan jika pertuduhan difailkan dalam tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, pihak pendakwa bertegas pendakwaan dilakukan dalam tempoh yang dibenarkan, dengan menegaskan kod prosedur jenayah menetapkan tempoh dikira dalam hari, bukan jam dan minit seperti yang didakwa pasukan pembelaan Yoon.

Mahkamah menjelaskan bahawa tempoh tahanan perlu dikira mengikut jam, dan mendapati bahawa pendakwaan terhadapnya dibuat di luar had masa yang ditetapkan.

Pasukan pembelaan Yoon turut berhujah bahawa pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden tidak boleh dikategorikan sebagai satu bentuk pemberontakan dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai risiko memusnahkan bukti.

Namun, pihak pendakwa menolak dakwaan itu dengan menyatakan bahawa risiko pemusnahan bukti masih tinggi.

— BERNAMA-YONHAP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here