Wartawan Malaysiakini, B. Nantha Kumar.

KUALA LUMPUR – Malaysiakini menggantung tugas dengan faedah penuh wartawannya, B Nantha Kumar yang didakwa meminta wang sehingga RM100,000 supaya tidak menyiarkan artikel.

Portal itu berkata, penggantungan tugas itu sementara menunggu penemuan panel bebas dengan siasatan teliti, adil dan selaras dengan nilai-nilai dipegang.

“Malaysiakini akan menyiasat kebenaran perkara ini dan telah menubuhkan panel bebas pakar untuk memastikan proses yang adil. Hasil siasatan akan diumumkan, tertakluk kepada panduan undang-undang.

“Malaysiakini mengakui bahawa sejak menyertai portal berita ini pada 2018, Nantha tela menjadi wartawan yang cemerlang, menghasilkan banyak laporan eksklusif yang menjadi tajuk utama. Laporannya yang berani tentang sindiket berkaitan pekerja asing membantu mendedahkan isu-isu kritikal,” katanya dalam satu artikel di portal itu.

Sementara itu, dalam satu artikel bertajuk ‘Dakwaan rasuah: Ini penjelasan saya’, wartawan terbabit menafikan beliau meminta rasuah daripada kartel terbabit.

Beliau mendakwa, pada 26 Februari, salah seorang ejen Pakistan yang disebut dalam artikel menghubunginya untuk menafikan penglibatannya dan dia menawarkan untuk menerbitkan penafian itu.

Ejen terbabit mendakwa terdapat seseorang mendekatinya dengan tawaran untuk “menyelesaikan” perkara itu dan wartawan itu menegaskan dia tidak pernah meminta sesiapa untuk bercakap bagi pihak dirinya.

“Semasa pertemuan, mereka membawa saya ke bilik persendirian di mana salah seorang ejen mendakwa terdapat pihak meminta RM400,000 untuk “menyelesaikan” kes dengan polis, SPRM, jabatan imigresen dan Malaysiakini.

“Mereka menawarkan saya RM50,000 dan bersedia membayar saya RM20,000 pada masa itu juga. Saya dengan tegas menolak dan menjelaskan saya tidak boleh dibeli,” jelasnya.

Pada 28 Februari, beliau bertemu sekali lagi dengan ejen berkenaan berdasarkan persefahaman dengan pengarah imigresen negeri sebelum ini dan memberitahunya mengenai pertemuan itu.

Menurut wartawan itu, pengarah imigresen negeri memberi jaminan akan menyokong beliau jika berlaku sesuatu.

“Apabila kami bertemu, ejen tersebut meminta saya memadam artikel tentangnya. (Saya ingin menjelaskan saya tidak mempunyai kuasa untuk memadam artikel yang diterbitkan di Malaysiakini).

“Saya menolak dan berpura-pura berminat untuk “bekerjasama” dengannya serta cuba memujuknya agar memberikan sesuatu yang boleh saya serahkan sebagai bukti. Sebaliknya, dia menyerahkan pada saya satu sampul surat, yang saya percaya mengandungi wang sebagai rasuah.

“Terkejut dengan tindakan itu, saya mengambilnya sebagai bukti untuk diserahkan kepada pengarah imigresen negeri yang saya sebutkan sebelum ini. Dalam beberapa saat, lebih sedozen pegawai SPRM menahan saya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here